selamat datang ke blog kami..bertiga....

Blog kami bertujuan untuk menyampaikan segala perkara atau isu yang dibincangkan dalam kelas media,budaya dan masyarakat

Sunday, October 17, 2010

Perkembangan media massa

Kepesatan pembangunan dan penggunaan media massa ketika ini sememangnya telah membantu memudahkan segala urusan harian manusia yang termasuk  dalam lapangan perniagaan tidak kira sama ada ianya berskala besar ataupun kecil.
     Secara tidak langsung ia telah mengubah institusi-institusi yang terdapat di dalam masyarakat selaras dengan perkembangan semasa. Khasnya, dalam bidang komunikasi media yang menyaksikan kemunculan pesat teknologi terbaru dalam bidang ini.
     Teknologi komunikasi di sini dapat dibahagikan kepada dua Pertama, ialah media cetak yang meliputi buku, majalah, dan akhbar. Kedua, ialah media elektronik yang meliputi televisyen, radio, satelit dan Internet.     
    Sebagai salah satu daripada institusi yang penting dalam masyarakat, media massa sebagai agen komunikasi sering menjadi tumpuan utama dalam usaha memahami proses perkembangan dan perubahan masyarakat.
     Maka, adalah diakui bahawa media telah memainkan peranan yang besar bermula dari masyarakat di Zaman Pertanian (Agriculture Society), Industri (Industrial Society) dan masa kini yang dikenali sebagai Zaman Maklumat (Information Age) dalam meningkatkan tamadun serta tahap ekonomi manusia.
     Jelas bahawa media mass dari dahulu sehingga kini berperanan besar dalam memantapkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat di mana sahaja.  Masyarakat usahawan cukup memerlukan media massa yang berkesan yang mampu membantu mereka untuk berjaya dalam mencapai matlamat mereka untuk menjadi usahawan yang berkesan.
      Maka, tidak hairanlah bahawa kaum Cina di Malaysia yang terkenal dengan keusahawanan mereka walaupun berjumlah kurang daripada 30 peratus penduduk negara memiliki lebih akhbar daripada yang di dalam Bahasa Malaysia, iaitu Bahasa Kebangsaan yang seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang pandai membaca.
      Kaum Cina pula terdedah kepada berbagai majalah dan buku yang bersifat keusahawanan yang dalam bahasa Mandarin dan Kantonis sama ada diterbitkan di Malaysia atau diimpot. Juga, mereka cukup cepat menterjemahkan ke bahasa Cina bahan-bahan keusahawanan terkini bagi memastikan usahawan mereka akan sentiasa mendapatkan maklumat dan ilmu terkini.
     Namun begitu, untuk menjayakannya media memerlukan suasana atau iklim yang sihat dan bebas untuk menyebarkan apa yang perlu.  Juga, untuk memainkan peranan yang lebih efektif media perlukan pendekatan yang lebih menumpu atau fokus untuk memantapkan budaya keusahawanan di kalangan ummah yang berminat dan yang terlibat dalam keusahawanan.   Juga, untuk merangsangkan lebih ramai ummah untuk menjadi usahawan dan berjaya dalam bidang yang mereka pilih.  
    Walaupun, Malaysia memiliki beberapa perundangan yang membataskan kebebasan media massa, lazimnya ianya adalah bersifat politik ataupun perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan serta perpaduan dan bukannya ekonomi atau perniagaan.  
     Maka, tiada alasan bahawa media massa di Malaysia tidak boleh menerbitkan bahan-bahan yang membina masyarakat ummah yang  cintakan keusahawanan.  Media massa terutamanya yang di dalam Bahasa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada berita dan maklumat yang membina semangat keusahawanan selain daripada bahan-bahan yang meningkatkan keuntungan syarikat-syarikat mereka.
     Maka, para usahawan ummah seharusnya dididik untuk menggunakan semua media massa yang berkenaan untuk bukan sahaja memantapkan ilmu mereka serta mendapatkan maklumat yang terkini tetapi juga isu-isu semasa yang boleh mempengaruhi perkembangan industri yang mereka terlibat.
      Seorang usahawan yang maju adalah yang berilmu dan mahir dalam bidangnya serta mengetahui apa yang berlaku di dalam masyarakat, negara dan dunia.  Ini adalah bagi mengupayakannya untuk bertindak secara proaktif dalam dunia yang kian pesat global.     
      Kita seharusnya sedar bahawa dunia kita hari ini semakin kebergantungan.  Iaitu, kita tidak dapat lari daripada apa yang belaku di negara orang terutamanya apabila mereka adalah gergasi. Maka, usahawan kini perlu lebih bijak bertindak secara proaktif untuk mengurangkan kesan negatif sebarang kemelesetan atau krisis ekonomi, terutamanya di peringkat global.
      Sebaliknya, kita perlu cekap mengambil kesempatan sebaik-baiknya jika ada peluang.  Saya yakin mereka yang cekap menggunakan media massa yang semestinya termasuk Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai bidang mereka akan pasti mampu bertindak pantas mengambil peluang serta mengurangkan kesan buruk yang menimpa usahawan di tempat lain
    Perlu juga ditegaskan bahawa media massa lumrahnya adalah sejenis perniagaan atau industri yang mampu membawa keuntungan.  Maka, resminya usahawan media massa akan memberi penekanan kepada apa yang melariskan perkhidmatan atau pengeluaran mereka.  Bagi media massa harian mahupun yang bersifat cetak atau elektronik akan menumpu kepada apa yang akan mendapat sambutan hangat daripada pendengar, penonton dan pembaca.  Mereka pula berebut-rebut untuk menjadi nombor satu atau antara yang terkemuka maka tidak hairanlah resminya bahan yang diterbitkan adalah yang dijangka mampu menarik perhatian pelanggan atau bakal pengguna seramainya.   Akibatnya, bahan media massa umumnya bersifat yang mengempar atau menghiburkan. 
      Namun begitu, di Malaysia kian banyak penerbitan yang berjurusan ekonomi, perniagaan atau keusahawanan dalam Bahasa Kebangsaan yang dimajukan.  Ini bukan sahaja yang bersifat ilmiah atau jurnal tetapi juga untuk tetapan umum atau usahawan.  Ada juga majalah ekonomi atau dagangan ataupun keusahawanan yang terkubur akibat kurang sambutan. 
    Apa yang diharapkan ialah syarikat-syarikat media massa yang berkenaan akan terus menerbitkan majalah atau menambahkan ruangan khas dalam akhbar mereka yang mampu merangsangkan minat keusahawanan di kalangan ummah walaupun keuntungannya tidak seberapa. Usaha ini haruslah dianggap sebagai  tanggungjawab-sosial.  Ini kerana masyarakat ummah masih boleh dianggap ketinggalan di dalam bidang keusahawanan, khas di Malaysia.
     Pihak institusi pendidikan dan pengajian tinggi pula harus memajukan penulisan dan penemuan mereka ke tahap yang boleh mendatangkan manufaat kepada ummah biasa.  Ini termasuk bagi bagi bahan yang mampu membantu usahawan ummah.  
      Di Malaysia media massa sejak perkembangan awalnya lagi telah terlibat menggalakkan  ummah untuk menjadi usahawan.  Misalnya, radio telah mengadakan berbagai program untuk membuat ummah Melayu berminat di dalam keusahawanan.  Ini lagi-lagi selepas Dasar Ekonomi Baru digubal dan tindakan dibuat bagi bukan sahaja membasmi kemiskinan bagi semua kaum tetapi juga bahawa rakyat Malaysia tidak lagi dilihat dari segi pekerjaan atau bidangnya.
      Kini, media massa adalah lebih berbagai dan interaktif. Maka, semuanya boleh digunakan untuk meningkat dan memantapkan keusahawanan.  Namun begitu, sebelum mengemukakan pandangan dan pendekatan bagi meningkatkan peranan media massa dalam memantapkan budaya keusahawanan ummah baiklah kita melihat suasana atau kedudukan media massa di Malaysia dan minat masyarakat terhadapnya menurut jenis-jenisnya.
       Tinjauan Indek Media Nielsen bagi tahun 2008 menunjukan bahawa media massa perdana terus mendominasi di Malaysia.  Iaitu, radio dan televisyen boleh diterima oleh lebih 90 peratus penduduk Malaysia manakala akhbar 54 peratus.   Tembusan atau jangkauan Internet pula meningkat lelbih seganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.  Internet kini diterima oleh dua daripada 10 penduduk Malaysia dan bilangan ini kian meningkat
      Rumusan yang boleh kita buat ialah media tradisional seperti media cetak, radio dan TV akan terus kuat berperanan di kalangan rakyat.  Bagaimanapun, Internet akan cepat menjadi bahagian penting di dalam kehidupan masyarakat Malaysia.  Ini terutamanya di kalangan anak muda yang kian mahir dan berpengalaman menggunakan Internet.

No comments:

Post a Comment

autumn animated leaves falling 31000 pictures, backgrounds and images